loader image

TH PROPERTIES LANCARKAN SATU LAGI FASA RUMAH TERES 2 TINGKAT MAMPU MILIK

TH PROPERTIES LANCARKAN SATU LAGI FASA RUMAH TERES 2 TINGKAT MAMPU MILIK YANG BERKUALITI DI WARISAN PUTERI 2, SEREMBAN 

SEREMBAN, 15 April 2017 – Sejajar dengan matlamatnya untuk menawarkan produk berkualiti dan inovatif, TH Properties Sdn. Bhd. menerusi anak syarikatnya, THP Hartanah Sdn. Bhd., akan melancarkan satu lagi fasa kediaman bertanah yang mampu milik dan berkualiti di Warisan Puteri 2, Seremban pada April 15, 2017.

Ditawarkan pada harga daripada RM454,300, Fasa 1B Eliya merupakan salah satu daripada kediaman mampu milik yang kini ditawarkan di bandar Seremban yang sedang pesat berkembang. Sebanyak 99 unit Eliya disediakan dalam dua pilihan reka bentuk, dengan ruang binaan antara 1,806 kaki persegi hingga 1,885 kaki persegi dan saiz lot 20’ x 70’ bagi unit pertengahan. Pelancaran Eliya adalah dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN), yang menawarkan kemudahan pembiayaan menerusi Skim Perumahan Belia (YHS) BSN.

Skim ini ditawarkan kepada 20,000 pemohon berkelayakan di mana BSN akan membiayai pembelian rumah mampu milik tersebut. Di bawah YHS, BSN akan menyediakan pinjaman perumahan bernilai antara RM100,000 dan RM500,000 dengan tempoh pinjaman sehingga 35 tahun atau usia pemilik mencapai 65 tahun, yang mana lebih awal.  Ciri utama Eliya ialah bahagian hadapan rumah yang berwajah moden dan kontemporari dengan sentuhan warna tanah serba anggun, berilhamkan kehijauan nan subur di sekelilingnya. Rumah ini pasti menjanjikan keselesaan dan ketenangan fikiran dengan 4 bilik tidur dan 3 bilik air, ruang keluarga khas, dapur basah dan juga kering serta tempat letak kereta cukup luas untuk 2 kereta. 

Dibina di atas tanah pegangan bebas seluas 10.96-ekar, Eliya terletak kira-kira 10 km dari pusat bandar Seremban.  Ia mudah ditujui dari Seremban menerusi Jalan Sikamat dan Jalan Jelebu dan dari  Kuala Lumpur menerusi persimpangan Ampangan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS). Pembangunan ini juga dikelilingi kemudahan dan prasarana moden seperti Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Kelab Golf Antarabangsa Seremban, sekolah rendah dan menengah Bandar Warisan Puteri, dan Stadium Paroi. Eliya, yang merupakan fasa kedua Warisan Puteri 2, dijadualkan siap menjelang Januari 2018. Warisan Puteri 2 ialah pembangunan kediaman bercampur meliputi kawasan seluas 105.5 ekar yang merupakan fasa terakhir bandar satelit Warisan Puteri. Bandar ini bakal menempatkan sejumlah 1,105 unit kediaman dan komersial pegangan bebas. 

“Dengan harga menarik dan lokasi yang mudah ditujui, kami yakin Eliya akan menarik perhatian segenap lapisan pembeli, yang ingin memiliki rumah berhampiran dengan bandar raya tetapi menawarkan gaya hidup yang tenang dan sejahtera. Berasaskan sambutan menggalakkan yang diterima semasa pelancaran Sutera, fasa pertama Warisan Puteri 2, yang telah dijual lebih 70%, kami yakin bahawa Eliya bakal menjadi kediaman pilihan bagi ramai. Pada harga lebih sedikit daripada RM450,000 sebelum diskaun Bumiputera, tawaran terbaru Warisan Puteri 2 ini akan menjadi pelaburan yang pasti dihargai,” kata Zaidi Baharudin, Pengurus Besar, Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Jualan TH Properties.

Semasa berbicara tentang kemudahan pinjaman perubahan, Frederic Siew, Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Runcit di BSN, berkata “Terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh generasi muda kita pada hari ini apabila membeli hartanah, terutamanya pembeli rumah kali pertama. Faktor utama ialah keupayaan mereka membayar wang muka 10%. Dalam situasi ini, Skim Perumahan Belia (YHS) boleh membantu pembeli muda membeli hartanah pertama mereka. Sejak pelancarannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober 2015, kami telah berusaha gigih dan berganding bahu dengan Kerajaan dan juga pelbagai pemaju perumahan untuk memilih kediaman yang menarik tetapi mampu dimiliki oleh golongan pembeli yang telah berumah tangga. Kerjasama kami dengan TH Properties Sdn. Bhd menandakan satu lagi mercu jaya dalam usaha kami membolehkan pembeli rumah kali pertama untuk  memperolehi rumah impian masing-masing. Dengan memudahkan pembeli mendapatkan pembiayaan perumahan, lebih ramai orang akan mampu membeli rumah, terutamanya generasi muda.” Pinjaman perumahan ditawarkan dalam bentuk Konvensional dan juga Pembiayaan Islam, meliputi sehingga 100% daripada harga belian. Bantuan tambahan juga ditawarkan oleh Kerajaan menerusi pembayaran bulanan RM200 untuk tempoh 2 tahun dari tarikh pelepasan pinjaman yang pertama untuk membantu suami isteri menjelaskan hutang mereka. Kerajaan juga baru-baru ini memperkenalkan beberapa dasar di bawah Bajet 2017 untuk menggalakkan pemilikan rumah mampu milik bagi kumpulan pembeli sasaran yang ingin membeli rumah pertama mereka. Ini termasuk membina lebih banyak rumah mampu milik menerusi pelbagai syarikat pemaju hartanah, dan memberikan pengecualian duti setem penuh bagi pembeli rumah kali pertama bagi rumah yang berharga sehingga RM300,000.

Mereka yang berminat untuk membeli rumah Eliya dialu-alukan mengunjungi pejabat jualan  Warisan Puteri 2 di Bandar Warisan Puteri atau hubungi kami di 06 – 7619 777 atau layari https://www.th-properties.com.

Disediakan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
TH Properties Sdn. Bhd.

How can we help you?

From industrial parks to building dream homes, our prowess in a diverse set of businesses is what truly drives us forward.