loader image

TH Properties catat 60% tempahan projek Pristine 3 Bandar Enstek

KUALA LUMPUR 4 Feb – TH Properties Sdn. Bhd. (TH Prop) mencatat 60% tempahan untuk projek kediaman baharunya, Pristine 3 di Bandar Enstek dalam tempoh seminggu selepas pelancaran.

Minggu lalu, kumpulan hartanah itu melancarkan Pristine 3, sebuah projek pembangunan rumah teres dua tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM20.26 juta. 

Terletak di pinggir bandar KLIA, Pristine 3 ialah salah satu pembangunan perumahan kontemporari terbaru TH Prop yang dibina di atas tanah pegangan bebas di Bandar Enstek oleh anak syarikat milik penuh kumpulan, THP Enstek Development Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Prop, Azman Ibrahim berkata, sambutan positif dan minat berterusan pembeli rumah Pristine 3 mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan terhadap jenama TH Prop. 

Jelasnya, seperti sambutan terhadap Pristine 3, Pristine Fasa 1 dan Fasa 2, masing-masing dilancarkan pada Oktober 2017 dan Julai 2018 turut menerima permintaan menggalakkan dan telah dijual sepenuhnya.

“Sejak pelancarannya Sabtu lalu, 60% daripada Pristine 3 telah ditempah dengan nilai jualan RM12,228,890. Kami mengharapkan minat positif daripada pembeli rumah akan berterusan dan berkembang.

“Pristine 3 sesuai untuk keluarga yang sedang berkembang dan pencari hartanah yang mengimpikan kawasan kedamaian terpencil dan ketenangan, jauh daripada hiruk-pikuk kehidupan bandar. 

“Dengan kejayaan Pristine 3, kami sedang bersiap sedia untuk pelancaran Pristine 4 tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, beliau percaya pembeli rumah tertarik dengan Pristine 3 kerana reka bentuknya menggabungkan landskap berinspirasikan alam semula jadi dan ciri seni bina kontemporari. 

Katanya, Pristine 3 didatangkan dalam dua unit berbeza 20’x 77’ jenis A1 mempunyai keluasan binaan seluas 1,584 kaki persegi dan ditawarkan pada harga dari RM576,700. 

“Manakala, unit 20’ x 100’ jenis A2 berharga dari RM592,800. Semua rumah teres dua tingkat mempunyai empat bilik tidur dan tiga bilik mandi serta dibina untuk memastikan keselesaan maksimum, keselamatan dan privasi,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan mempunyai perancangan bagi pelancaran Fasa 1 Cenderawasih 3, projek kediaman dengan GDV RM28.68 juta yang dijadualkan pada Mei tahun ini. 

“Pada suku ketiga tahun ini, TH Prop merancang untuk melancarkan projek kediaman di Bandar Warisan Puteri 2. Dengan kebangkitan semula sektor hartanah dan ekonomi secara keseluruhan, kami percaya produk kami seterusnya mendapat minat besar. 

Ini akan menjadi tahun yang sibuk dan kami sedang berkembang, tetapi pada teras kesemuanya, keperluan serta permintaan pelanggan kekal sebagai salah satu keutamaan. 

“Kami berhati-hati dalam mereka bentuk produk supaya pembeli dapat menghargai keselesaan dan keselamatan yang ditawarkan setiap rumah kami,” katanya.

Pembangunan lain TH Prop di Bandar Enstek, termasuk The Villas, banglo dua tingkat dengan keluasan binaan 4,313 kaki persegi dan Hundred East, rangkaian super dua tingkat yang berkeluasan 2,120 kaki persegi hingga 2,420 kaki persegi. – DagangNews.com

How can we help you?

From industrial parks to building dream homes, our prowess in a diverse set of businesses is what truly drives us forward.