loader image

KUMPULAN TH PROPERTIES BINA MASJID BERNILAI RM4.2 JUTA

KUMPULAN TH PROPERTIES BINA MASJID BERNILAI RM4.2 JUTA SEBAGAI INISIATIF TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT UNTUK PENDUDUK BANDAR ENSTEK 

BANDAR ENSTEK, 8 Mei 2017 – TH Properties Sdn. Bhd. (THP), anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji, bakal membina masjid bernilai RM4.2 juta sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut kepada penduduk Bandar Enstek dan kawasan sekitarnya.Usaha ini merupakan susulan penyerahan Pusat Komuniti Islam Bandar Enstek bernilai RM6.47 juta kepada wakil penduduk pada bulan Jun tahun lalu yang juga merupakan tanggungjawab sosial korporat TH Properties kepada penduduk Bandar Entek yang kini mencecah seramai 11,500 orang. Komponen masjid dan Pusat Komuniti Islam Bandar Enstek ini terletak di atas tanah seluas 4.21 ekar. Berucap di Majlis Mula Kerja Pembinaan Masjid Bandar Enstek hari ini, Dato’ Azizan Abd Rahman, Pengerusi Kumpulan TH Properties menyatakan kos pembinaan kompleks masjid sebanyak RM3.2 juta akan dibiayai oleh TH Properties bagi melengkapkan dana sebanyak RM1 juta yang berjaya dikutip oleh jawatankuasa masjid tersebut. Majlis Mula Kerja Pembinaan Masjid Bandar Enstek tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan.

Antara komponen kompleks masjid ini adalah dewan solat yang mampu menampung 1,000 orang jemaah, ruang sokongan seperti tempat wuduk dan ruang pengurusan jenazah, bilik serbaguna, pejabat, pantri dan tandas.Susunatur ruang-ruang masjid menekankan aspek mesra pengguna di mana semua ruang dibina pada satu aras tanpa tangga. Kemudahan berwuduk disediakan di semua pintu masuk ruang solat. Manakala pembinaan bumbung cerun tanpa kubah pula untuk kemudahan kerja-kerja penyelenggaraan. Rekabentuk komplek masjid ini bercirikan senibina setempat tropika dengan perincian timur tengah yang dapat dilihat pada rekaan bumbung cerun tropika dan gerbang timur tengah pada dinding dan ruang dalaman. Minaret pula direkabentuk dengan enam bucu, melambangkan enam rukun iman. Kompleks masjid dan Pusat Komuniti Islam bersepadu ini akan memanfaatkan bukan sahaja penduduk malah kakitangan dan pelajar institusi-institusi pendidikan, industri dan perniagaan yang beroperasi di Bandar Enstek. Selain berperanan sebagai pusat ibadah, ianya menyediakan kemudahan yang serba lengkap dan selesa seperti ruang pembelajaran kelas agama dan fardu ain (KAFA) dan dewan serbaguna yang luas dan moden.

Setakat ini, TH Properties telah membangunkan hampir 50% daripada 5,119 ekar Bandar Enstek dan komponen masjid serta Pusat Islam ini akan menyokong dan melengkapkan lagi pelbagai kemudahan untuk kira-kira 150,000 orang penduduk apabila perbandaran ini siap sepenuhnya pada tahun 2025.

Disediakan oleh:
Unit Komunikasi Korporat 
TH Properties Sdn. Bhd.
8 Mei 2017

How can we help you?

From industrial parks to building dream homes, our prowess in a diverse set of businesses is what truly drives us forward.