loader image

Usaha sama TH Properties-MRCB bangunkan Kota Semarak dengan NPK RM3.1 bilion

KUALA LUMPUR: 59 Inc. Sdn Bhd kini memulakan semula projek pembangunan bercampur Kota Semarak dengan sasaran nilai pembangunan kasar (NPK) keseluruhan RM3.1 bilion.

Syarikat usaha sama 70-30 peratus yang ditubuhkan antara TH Properties Sdn Bhd (TH Prop) dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) itu telah merancang untuk memulakan projek itu pada 2019 tetapi dikekang oleh pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Prop Azman Ibrahim berkata projek Kota Semarak seluas 11 hektar di Jalan Sultan Yahya Petra akan dibangunkan dalam tiga fasa.

Fasa pertama dinamakan 1A, yang meliputi empat menara dengan 1,226 unit pangsapuri berperkhidmatan termasuk 100 unit rumah di bawah projek Residensi Wilayah (RUMAWIP), serta 87 unit pejabat kedai.

Fasa dua dan fasa tiga masing-masing akan dibangunkan di kawasan seluas 3.7 hektar dan 4.4 hektar.

Fasa 1A, dengan NPK berjumlah RM850 juta dan keluasan tanah 2.9 hektar, dijadual siap pada Februari 2027, dengan unit rumah berharga mulai RM570,000 dan seterusnya.

“Kami mempertimbangkan pada RM650 bagi setiap kaki persegi dan julat harga ini jauh lebih rendah daripada apa yang kami dapati di sekitar pembangunan bertingkat tinggi.

“Kami yakin pada bahagian awal pelancaran ini untuk memperoleh sekurang-kurangnya 50 peratus (tempahan),” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah dan pemeteraian Memorandum Persefahaman Kota Semarak dengan panel pembiaya akhir di sini, pada Ahad.

Syarikat usaha sama itu telah memperoleh pembiayaan daripada Bank Islam Bhd dan MBSB Bank Bhd untuk pembangunan tersebut.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami menyemak dan mengkaji keberkesanan projek dan kami dapat mengurangkan beberapa elemen, membolehkan kami mengekalkan kos pembinaan,” katanya ketika ditanya mengenai kenaikan kos bahan binaan dan kesannya terhadap projek.

Kota Semarak menawarkan unit kontemporari dua hingga empat bilik tidur dengan saiz 802 kaki persegi hingga 2,400 kaki persegi.

“Kami menyasarkan Kota Semarak menjadi batu loncatan untuk projek yang lebih mesra alam dan lestari pada masa hadapan,” katanya.

— BERNAMA

Source: https://www.astroawani.com/berita-bisnes/usaha-sama-th-propertiesmrcb-bangunkan-kota-semarak-dengan-npk-rm31-bilion-402058

How can we help you?

From industrial parks to building dream homes, our prowess in a diverse set of businesses is what truly drives us forward.