loader image

TH Properties bakal lancar Pristine 4

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Properties, Azman Ibrahim memberi penerangan mengenai projek pembangunan Pristine 4 semasa ditemubual di Bandar Enstek, baru-baru ini - NSTP/Aziah Azmee

Oleh Mahanum Abdul Aziz – April 19, 2022 @ 11:16am
mahanum_aziz@bh.com.my

NILAI: TH Properties Sdn Bhd bercadang untuk melancarkan projek hartanah terbaharunya, Pristine 4 pada suku keempat tahun ini berikutan sambutan menggalakkan yang diterima bagi pelancaran sebelum ini.

Pembangunan rumah teres dua tingkat di kawasan seluas 2.4 hektar di Bandar Enstek itu dijangka membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM28 juta.

Terletak tidak jauh daripada Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), pembangunan hartanah kediaman kontemporari terkini itu akan membabitkan pembangunan 51 unit rumah teres dua tingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Properties, Azman Ibrahim, berkata sambutan positif diterima terhadap pelancaran Pristine 1,2 dan 3, menandakan minat utuh dan keyakinan tinggi pembeli rumah terhadap hartanah kediaman yang dilancarkan pemaju hartanah itu.

Beliau berkata, Pristine 3 yang dilancarkan pada Januari lalu mendapat sambutan menggalakkan dengan kadar ambilan kira-kira 60 peratus sejak ia dilancarkan.

Katanya, TH Properties menjangkakan minat positif daripada pembeli rumah akan berterusan memandangkan Pristine 3 memenuhi keperluan keluarga yang berkembang dan pemburu rumah yang mengimpikan kediaman dalam kawasan yang aman dan damai, jauh dari kesibukan kehidupan kota.

“Dengan kejayaan Pristine 3, kami bercadang untuk melancarkan Pristine 4 pada suku ketiga atau keempat tahun ini,” katanya kepada BH dalam satu temubual di Bandar Enstek, dekat sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai sambutan terhadap Pristine 3, Azman percaya bahawa pembeli rumah tertarik kepada Pristine 3 kerana reka bentuknya yang menarik, menggabungkan landskap yang diilhamkan oleh alam semula jadi dan ciri seni bina kontemporari serta menekankan kebebasan ruang.

Beliau berkata, sejajar dengan moto kumpulan iaitu ‘Membina Melangkaui Bangunan’, Pristine 3 dibangunkan untuk menjadi inovatif dan mampu milik bagi memenuhi keperluan kumpulan pembeli rumah yang pelbagai.

Pristine 3 didatangkan dalam dua unit berbeza iaitu Jenis A1 – 20’x77′, mempunyai keluasan binaan seluas 1,584 kaki persegi dan ditawarkan pada harga menarik dari RM576,700, sementara unit Jenis A2 – 20’x100′ pula berharga daripada RM592,800.

Semua rumah teres dua tingkat itu mempunyai empat bilik tidur dan tiga bilik mandi, dan dibina untuk memastikan keselesaan maksimum, keselamatan dan privasi.

Pembangunan itu terletak dalam suasana yang tenang, menjadikan Pristine 3 tempat yang tenang dan eksklusif yang sepadan dengan namanya.

TH Properties juga dijangka melancarkan beberapa projek hartanah tahun ini termasuk Cenderawasih 3 dan hartanah kediaman di Bandar Warisan Puteri 2.

Pemaju hartanah itu juga akan lebih agresif tahun ini dengan pelancaran kediaman baharu sejajar dengan jangkaan pemulihan ekonomi negara daripada pandemik COVID-19.

Source: Berita Harian

How can we help you?

From industrial parks to building dream homes, our prowess in a diverse set of businesses is what truly drives us forward.