loader image

TH Prop, MRCB lancar projek Kota Semarak RM3.1 bilion

Pengerusi TH Prop, Datin Kartini Abdul Manaf (kiri) diberi penerangan projek Kota Semarak selepas merasmikan upacara pecah tanah Kota Semarak Fasa 1 di Kuala Lumpur, hari ini- NSTP/Fathil Asri

Oleh Mahanum Abdul Aziz – Januari 15, 2023 @ 2:27pm
mahanum_aziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: TH Properties Sdn Bhd (TH Prop) dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) bekerjasama melancarkan projek pembinaan bercampur bertingkat tinggi dengan teknologi hijau dikenali Kota Semarak membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.1 bilion.

Ia dilaksanakan menerusi 59 Inc Sdn Bhd, syarikat usaha sama 70:30 TH Prop dan MRCB dengan memanfaatkan kepakaran kedua-dua pemain pembangunan dan pembinaan hartanah terkemuka itu untuk menyediakan kediaman bandar yang bukan saja menawarkan persekitaran hidup yang lebih hijau kepada pembeli, pada masa yang sama berkualiti dan mempunyai nilai harga yang baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Prop dan Pengarah 59 Inc, Azman Ibrahim, berkata projek yang terletak di atas tanah seluas 10.9 hektar di Jalan Sultan Yahya Petra atau sebelum ini dikenali sebagai Jalan Semarak itu akan dibangunkan dalam tiga fasa.

Beliau berkata, dengan GDV RM3.1 bilion, ia terdiri daripada komponen pangsapuri perkhidmatan, pejabat kedai dan pusat beli-belah.

Katanya, Fasa 1A akan mempunyai sejumlah 1,226 unit pangsapuri perkhidmatan, termasuk 100 unit Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), di empat menara dan 87 unit pejabat kedai, diunjur siap menjelang awal 2027 dengan harga bermula RM570,000 ke atas.

“Kami meninjau harga satu kaki persegi pada RM650 dan harga ini adalah lebih rendah daripada apa yang kami dapati di sekitar pembangunan bertingkat tinggi. Pembeli yang berminat boleh berdaftar sekarang,” katanya pada sidang media sempena majlis pembukaan rasmi Kota Semarak Galleria dan pecah tanah Fasa 1 Kota Semarak, hari ini.

Kota Semarak menawarkan reka bentuk kontemporari dan bersesuaian bagi unit yang mempunyai dua hingga empat bilik tidur, bersaiz antara 802 kaki persegi hingga 2,400 kaki persegi, dengan susun atur yang teliti untuk memaksimumkan akses kepada pemandangan panorama.

Turut diadakan pada majlis pembukaan rasmi galeri Kota Semarak adalah majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara TH Prop dan Bank Islam Malaysia Bhd untuk pembiayaan akhir dan bersama MBSB Bank Bhd untuk pembiayaan projek Kota Semarak.

Selain Kota Semarak, pembangunan lain oleh TH Prop adalah termasuk Tierra di Bandar Warisan Puteri 2, Seremban, Techpark, The Villas, Hundred East dan Pristine 3 di Bandar Enstek, serta Pesisiran Residences di Kuantan, Pahang.

TH Prop ialah anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji (PH) dan adalah pemain berpengalaman dalam industri yang telah aktif sejak 1980 melalui penubuhan Syarikat Pembinaan dan Perumahan Tabung Haji Sdn Bhd.

Pada masa ini, bidang kepakaran utamanya ialah pembangunan hartanah, pembinaan dan pengurusan kemudahan.

Perbandaran terbesarnya buat masa kini adalah Bandar Enstek di Negeri Sembilan, seluas lebih 2,000 hektar.

Terletak berhampiran KLIA dan klia2, Bandar Enstek adalah perbandaran matang dengan lebih 1,784 rumah yang sudah siap dan diserahkan kepada pemilik sejak pembinaannya pada 1999.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/01/1052215/th-prop-mrcb-lancar-projek-kota-semarak-rm31-bilion

How can we help you?

From industrial parks to building dream homes, our prowess in a diverse set of businesses is what truly drives us forward.