loader image

KUMPULAN TH PROPERTIES RANGKUL TIGA ANUGERAH PENGURUSAN FASILITI TERBAIK TAHUN 2021

SIARAN AKHBAR

KUMPULAN TH PROPERTIES RANGKUL TIGA ANUGERAH PENGURUSAN FASILITI TERBAIK TAHUN 2021

TH Properties Sdn. Bhd. (TH Prop), menerusi anak syarikatnya TH Universal Builders Sdn. Bhd. (THUB), THP Services Sdn. Bhd. (THP Services) dan THP Utara Facilities Sdn.Bhd. (THP Utara), berjaya merangkul tiga anugerah pengurusan fasiliti terbaik tahun 2021 baru-baru ini.

Di majlis yang berlangsung di Putrajaya pada hari ini, THUB dinobatkan salah satu pemenang Anugerah Inisiatif Hijau Putrajaya 2021 (AIH Putrajaya 2021) bagi kategori Institusi Awam dan Swasta. Anugerah berupa sijil dan wang sagu hati itu disampaikan oleh YBhg. Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, Presiden Perbadanan Putrajaya kepada YBhg. Puan Myrzela Sabtu, Pengerusi THUB.

AIH Putrajaya 2021 merupakan program tahunan anjuran Perbadanan Putrajaya untuk semua penduduk serta institusi awam dan swasta di Putrajaya yang mengetengahkan dan mengalakkan pelaksanaan inisiatif hijau khasnya dalam penjimatan elektrik, air dan pengurangan sisa pepejal di kawasan kediaman dan kompleks pejabat awam. THUB mengaplikasikan aspek inovasi dalam sistem pengurusan fasiliti dengan menggunakan bahan, teknologi dan sistem pengurusan terkini di Kompleks Islam Putrajaya milik Lembaga Tabung Haji (TH).

Terdahulu, THP Services merangkul tempat kedua Anugerah Kontraktor Cemerlang Kategori Pengurusan Fasiliti Bangunan pada Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi Dan Anugerah Kontraktor Cemerlang Jabatan Kerja Raya Malaysia 2021 yang berlangsung Jumaat lepas. Anugerah yang dianjurkan setiap dua tahun oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) ini menilai dan memberi pengiktirafan kepada syarikat-syarikat pengurusan fasiliti yang melaksanakan perkhidmatan pengurusan fasiliti bangunan dengan cemerlang dan berkualiti.

Pada bulan lepas, THP Utara mendapat tempat ketiga untuk Anugerah Pengurusan Dan Penyenggaraan Terbaik Bangunan Gunasama Persekutuan Tahun 2020 bagi bangunan di bawah senggaraannya di Alor Setar iaitu Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar

Mu’adzam Shah. Anugerah anjuran Kementerian Kerja Raya ini diwujudkan dengan objektif untuk memastikan kualiti perkhidmatan yang diberikan berada di tahap terbaik dan memupuk persaingan sihat di kalangan Pejabat Urus Bangunan dan Jawatankuasa Penyelaras Penyenggaraan Bangunan Gunasama Persekutuaan, iaitu bangunan milikan Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Kerja Raya untuk urusan kawal selia dan penyenggaraan.

Menurut Hj. Nadzri Mohd Daud, Ketua Pengurusan Fasiliti TH Properties, pengiktirafan dalam bentuk anugerah pengurusan fasiliti terbaik yang diberikan ini merupakan pewajaran bagi komitmen dan usaha merealisasikan aspirasi syarikat untuk menjadi salah satu cabang perniagaan berpotensi tinggi yang dapat menyumbang secara terus kepada ekonomi umat Islam secara amnya dan pendeposit TH di Malaysia secara khususnya.

Ia membuktikan komitmen padu Kumpulan TH Properties dalam melaksanakan program dan proses pengurusan fasiliti yang menyokong pembangunan hijau dan mampan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari yang dipromosikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Ianya juga merupakan sumber inspirasi bagi kakitangan Kumpulan TH Properties untuk mengorak langkah lebih jauh dan melakar kejayaan yang lebih besar bukan sahaja di dalam bidang pengurusan fasiliti ini tetapi juga di bidang pengurusan hartanah”, ujar beliau lagi.

Menerusi anak syarikatnya, TH Properties berwawasan untuk menjadi pakar dan penggiat utama dalam perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu melalui pendekatan teknik amalan penyelenggaraan yang terkini dan terbaik dengan penarafan kepuasan pelanggan yang cemerlang. Ditubuhkan pada tahun 1980, TH Properties merupakan anak syarikat milik penuh TH.

Di antara inovasi yang dilaksanakan oleh segmen pengurusan fasiliti Kumpulan ini termasuklah membangunkan aplikasi Real Time Power Monitoring untuk memantau penggunaan tenaga secara “real time”, penukaran penapis udara yang membantu menjimatkan penggunaan tenaga dalam penghasilan udara sejuk di dalam sistem penghawa dingin berpusat, serta menggunapakai kaedah “Predictive Maintenance” semasa penaksiran keadaan asset.

Berdaftar dengan semua agensi-agensi kerajaan yang berkenaan seperti SIRIM, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Suruhanjaya Tenaga dan Persatuan Pengurusan Fasiliti Malaysia, TH Properties kini menyenggara jumlah kawasan seluas 17 juta kaki persegi.

Antara bangunan di bawah senggaraan THUB adalah Menara Bank Islam, Parcel F di Putrajaya, Menara TH Tun Razak dan Menara TH Johor Bahru. Perkhidmatan pengurusan fasiliti THUB juga merangkumi kontrak luar negara seperti ibu pejabat Unilever di Leatherhead, United Kingdom.

Disediakan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
TH Properties Sdn. Bhd.
7 Disember 2021

How can we help you?

From industrial parks to building dream homes, our prowess in a diverse set of businesses is what truly drives us forward.