loader image

Techpark Enstek Life Science Park mampu tarik FDI hingga RM19 bilion

SEREMBAN: Techpark Enstek Life Science Park yang dibangunkan TH Properties (TH Prop) dijangka menarik pelaburan langsung asing (FDI) antara RM10 bilion hingga RM19 bilion dalam tempoh lima tahun tahun akan datang.

Pembangunan berkeluasan 183 hektar yang terletak di Bandar Enstek itu juga bakal memposisikan Negeri Sembilan sebagai hab utama bagi industri farmaseutikal, bioteknologi, teknologi perubatan serta keseluruhan rantaian nilai sains hayat di Malaysia.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pembangunan Techpark Enstek Life Science Park adalah manifestasi sinergi erat antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, agensi seperti Invest NS dan Halal Development Corporation (HDC), serta syarikat berkaitan kerajaan seperti TH Prop dalam merealisasikan agenda nasional berasaskan teknologi tinggi.

Beliau berkata, ia adalah taman industri sains hayat pertama di Malaysia yang berstatus HALMAS, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap standard pematuhan dan integriti rantaian industrinya.

“Inilah kluster taman sains hayat pertama di Malaysia. Diharapkan Techpark Enstek Life Science Park ini dibantu, disokong dan diberi pemudahcara terbaik oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri telah mengangkat menjadikan Negeri Sembilan sebagai satu tapak baharu, sementara tanggungjawab Kerajaan Persekutuan pula untuk mengisi, membantu, mempercepat dan memberi bantuan kepada pelabur yang khusus dalam sains hayat.

“Kita mahu ia dijadikan sebagai satu pusat yang betul-betul memberikan impak yang besar bukan saja kepada ekonomi negeri tetapi juga negara,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah Techpark Enstek Life Science Park, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Pengerusi TH Prop, Datuk Husam Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Prop, Mohd Ismadi Ishak.

Sementara itu, Husam berkata, setakat ini, tiga pihak dari China dan tempatan telah datang berunding dengan TH Prop untuk membuka kilang vaksin halal dan farmaseutikal di taman perindustrian berasaskan sains hayat itu.

Beliau berkata, fasa satu telah bermula dan pelabur akan membina kilang mengikut kesesuaian mereka, sementara tugas TH Prop dan Enstek adalah menyiapkan infrastruktur dan ekosistem yang lengkap dan sempurna.

Katanya, di samping vaksin halal dan farmaseutikal, pihaknya juga bercadang untuk memperluaskan skop meliputi semua bidang sains khusus dalam kesihatan, kesejahteraan manusia dan perubatan.

“Dengan sokongan HALMAS, kedudukan strategik taman industri sains hayat itu bersama ekosistem sekitarnya yang terletak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Pelabuhan Klang akan menjadi pemangkin dalam usaha memposisikan Malaysia sebagai destinasi global utama terutamanya di dalam sektor sains hayat yang halal,” katanya.

Source: Berita Harian

Source: UTUSAN

How can we help you?

From industrial parks to building dream homes, our prowess in a diverse set of businesses is what truly drives us forward.