loader image

Projek pembangunan Life Science Park Enstek bakal pacu ekonomi Negeri Sembilan – MB

Nilai: Kerajaan Negeri Sembilan menyifatkan pembangunan Taman Perindustrian Berasaskan Penjagaan Kesihatan yang dibangunkan di Techpark Enstek Bandar Enstek di sini, bakal memacu bukan sahaja pertumbuhan ekonomi negeri, malah negara.

Projek dimajukan anak syarikat Lembaga Tabung Haji (TH), TH Properties di kawasan seluas 183 hektar itu bakal memperkukuhkan ekonomi negeri, khususnya dalam membina ekosistem berteraskan teknologi, inovasi dan industri masa depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pembangunan tapak perindustrian ini adalah manifestasi sinergi erat antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, agensi seperti Invest NS dan Halal Development Corporation (HDC) Bhd, serta syarikat berkaitan kerajaan seperti TH Properties dalam merealisasikan agenda nasional berasaskan teknologi tinggi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan negeri, berkata pembangunan projek itu bakal memposisikan Negeri Sembilan sebagai hab utama bagi industri farmaseutikal, bioteknologi, teknologi perubatan dan keseluruhan rantaian nilai sains hayat di Malaysia.

“Projek ini turut menjadi sebahagian daripada agenda penyusunan semula ekonomi negeri, yang menekankan pertumbuhan mampan, peningkatan daya saing industri serta penciptaan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Berpaksikan asas industri kukuh di Bandar Enstek, tapak projek perindustrian penjagaan berasaskan kesihatan ini akan memposisi sebagai destinasi utama negara bagi aktiviti sains hayat.

“Pembangunan ini turut berfungsi sebagai pemangkin utama di bawah Pelan Konsep Induk (MCP) Bandar Enstek yang dirangka bagi menyokong pertumbuhan mampan, kemajuan teknologi dan peningkatan daya saing industri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Life Science Park di Bandar Enstek, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Pengerusi TH Properties, Datuk Husam Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Properties, Mohd Ismadi Ishak.

Aminuddin berkata, potensi transformasi yang akan dibawa di tapak projek berkenaan boleh merealisasikan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) mencecah RM2.67 bilion dalam tempoh lima tahun, namun nilai GDV keseluruhan dijangka terus berkembang.

Beliau berkata, berdasarkan unjuran awal, antara 9,000 hingga 15,000 peluang pekerjaan baharu dijangka diwujudkan, membabitkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan signifikan.

“Selain memberi impak besar kepada pasaran pekerjaan, industri ini juga mampu memacu aktiviti penyelidikan, inovasi dan menarik penyertaan pelabur global yang berkualiti.

“Kedudukan strategik Techpark Enstek yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan jaringan logistik utama negara turut mengukuhkan potensi Life Science Park sebagai destinasi pelaburan yang sangat kompetitif,” katanya.

Sementara itu, Husam berkata, setakat ini tiga pelabur menyatakan komitmen untuk melabur dalam projek berkenaan, sekali gus mengukuhkan potensi pembangunan sektor perubatan dan kesejahteraan di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, tiga pihak itu ialah dua pelabur dari China dan satu membabitkan pelabur tempatan dalam bidang farmaseutikal serta vaksin yang memiliki pensijilan halal.

“Kita berharap skop pembangunan akan dapat diperluaskan lagi, khususnya yang berkaitan dalam bidang kesihatan kesejahteraan manusia dan juga perubatan secara menyeluruh,” katanya.

Husam berkata, tapak projek bakal diperluaskan sekiranya projek ini menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan penambahan 50 hektar lagi pada masa depan.

Beliau berkata, TH Properties yakin dengan trend semasa yang menunjukkan minat berterusan daripada pelabur untuk berunding dan melabur dalam projek berkenaan.

Source: HARIAN METRO

How can we help you?

From industrial parks to building dream homes, our prowess in a diverse set of businesses is what truly drives us forward.