loader image

TH PROPERTIES SERAH KUNCI KEPADA PEMBELI

TH PROPERTIES SERAH KUNCI KEPADA PEMBELI DI KARNIVAL CERIA @ WARISAN PUTERI 2, SEREMBAN

SEREMBAN, 24 MAC 2018 – TH Properties Sdn. Bhd. hari ini menyerahkan replika kunci kepada sepuluh pemilik rumah teres Sutera di Warisan Puteri 2, Seremban. Penyerahan tersebut disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Mohzani bin Datuk Dr Abdul Wahab, Pengerusi Kumpulan TH Properties dan YBhg. Dato’ Roszali bin Othman, Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties di Karnival Ceria@Warisan Puteri 2.

Sutera merupakan fasa pertama pembangunan Warisan Puteri 2 yang terdiri daripada 89 unit rumah teres dua tingkat. Dilancarkan pada 3 September 2016, Sutera mempunyai keluasan 20 kaki  x 70 kaki dan ruang binaan daripada 1,795 kaki persegi sehingga 1,992 kaki persegi. Ianya memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan atau “Certificate of Completion and Compliance” (“CCC”) pada 23 Januari 2018. Setakat ini, Sutera telah terjual sebanyak 80%.

Warisan Puteri 2 ialah pembangunan kediaman bercampur meliputi kawasan seluas 105.5 ekar yang merupakan fasa terakhir bandar satelit Warisan Puteri. Bandar ini bakal menempatkan sejumlah 1,105 unit kediaman dan komersial pegangan bebas dalam jangka masa 8 tahun.

Di samping Sutera, TH Properties juga telah melancarkan Eliya, satu lagi fasa kediaman teres dua tingkat yang mampu milik dan berkualiti di Warisan Puteri 2. Eliya dilancarkan pada 15 April 2017 dan ditawarkan pada harga bermula daripada RM454,300 beserta rebat sebanyak 10%. Sebanyak 99 unit Eliya disediakan dalam dua pilihan reka bentuk, dengan ruang binaan antara 1,806 kaki persegi hingga 1,885 kaki persegi dan saiz lot 20’ x 70’ bagi unit pertengahan. Eliya dijadualkan siap menjelang Mei 2018.

“Sutera menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan kami yakin Eliya juga akan turut menjadi pilihan pembeli. Bukan sahaja untuk didiami malah unit-unit kediaman di sini sesuai dijadikan peluang pelaburan yang baik kerana lokasinya yang ideal, dengan rangkaian akses yang mudah dan turut dilengkapi dengan prasarana moden,” kata Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties, Dato’ Roszali bin Othman di majlis penyerahan kunci tersebut.

Warisan Puteri 2 terletak kira-kira 10 km dari pusat bandar Seremban.  Ianya mudah ditujui dari Seremban menerusi Jalan Sikamat dan Jalan Jelebu, dan dari  Kuala Lumpur menerusi persimpangan Ampangan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS). Pembangunan ini juga dikelilingi kemudahan seperti Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Kelab Golf Antarabangsa Seremban, sekolah rendah dan menengah Bandar Warisan Puteri, dan Stadium Paroi. 

Disediakan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
TH Properties Sdn. Bhd.

How can we help you?

From industrial parks to building dream homes, our prowess in a diverse set of businesses is what truly drives us forward.